Tuesday 11 October 2011

Mana nak cari

Mana nak cari
perempuan manis nak buat bini
yang cekal, kental lagi berani
bukan yang buntal, dangkal dan pendengki

Perempuan yang pada hari esok lusa
bila emak aku sedang membilang hari tua
saat dan waktu aku keluar kerja
dia jadi pembantu aku, dia mahu jadi ahli syurga

Waktu ibu terbaring atas tilam nipis
yang mungkin ada tikanya berserakan najis
dia bersihkan, dia cuci penuh kesabaran
dia tukar lampin busuk
tengik dan hapak berselang masa menusuk-nusuk
aroma yang menikam-nikam hingga ke rusuk
dia tahan
sabar dan tabah atas sebuah ujian

Dia senyum dan layan ibu bagai ratu
dia tukar kain batik hancing dengan yang baru
dia bersih dan lapkan ibu
masih, dia senyum dan layan ibu bagai ratu
dia bantu ibu berwudhuk, betulkan ibu duduk
solat ibu selagi ada daya dialah yang bantu

Perempuan itu tak mengeluh, jauh sekali nak mengadu
haring dia cium itu dunia, harum yang menanti dia di alam syurga
dia ikhlas, dia tak pernah culas

Dia perempuan yang seiring masa berputar
selagi itulah dia sedar
syurga aku sang suami selamanya milik ibu
sedang syurga dia sebagai isteri, kuncinya hanya pada aku
dia taati aku, abdi pada ibu
mana nak cari
perempuan macam ini
aku nak buat bini

No comments:

Post a Comment