Friday 25 November 2011

Akan tiba masa.

Akan tiba masa, kau menyayangi orang yang kau tak pasti apa dia akan kembali membalas cinta dan sayang kau kepadanya. Lebih malang, orang lain kau abaikan, kau sisihkan. Insan-insan yang selama ini menumpangkan rimbun cinta dan sayangnya buat kau berteduh, kau lupakan.Sebab kau terlalu mengharap pada manusia yang belum tentu memahami kau seperti orang-orang istimewa, yang selama ini menghabiskan masa bersama, menginjak tanah berkongsi duka dan air mata. Mereka yang tidak lokek dengan jiwa tulus, kasih kudus.

Kau lupa pada orang yang selalu memberi sebab kau terlalu sibuk mencari pada yang tak pasti. Akhirnya, kau lukakan hati-hati manusia berharga di seputar kehidupan kau. Lebih hiba, kau lukakan hati kau sendiri, yang sebenarnya terlalu mudah terluka tapi entah bila akan sembuh semula. Belajarlah untuk menghargai yang ada, sebab kaupun bukanlah sesiapa.


Pernah?

Pernahkah kau dalam usia suku abad terbeban dengan rasa rindu orang yang pernah kau banggakan dulu? Rasa rindu pada lelaki yang kau kagumi? Lelaki yang kau sayangi sepenuh hati? Lelaki yang pernah kau puja macam dewa? Waktu itu kau kecil dan tak faham apa-apa. Yang kau tahu, lelaki ini hebat dan tiada yang setanding dengan dia. Ah, senang cerita, dalam banyak-banyak Superhero yang kau tonton di kaca TV atau mana-mana komik yang pernah kau tatap daripada kulit ke isi, semuanya biasa-biasa saja bagi kau. Tetapi lelaki inilah satu-satunya adiwira sebenar. Terbaik dan sukar dicabar.

Walau kau pernah disebat dengan penyangkut baju atau apa saja yang sempat dicapai lelaki itu, kau tetap agungkan dia. Lagipun dia pukul bersandar asbab. Sebuah cinta yang takkan terungkai maksud dan dalamnya.Walau kau dipukul, tetapi lelaki yang sama akan memujuk. Bawa kau keluar bonceng motorsikal bersama dia keliling desa. Jumpa kawan-kawan dia di seputar kampung dan jika beruntung, adalah dalam kalangan rakan-rakannya yang menghulur syiling warna emas atau lebih elok, not-not kertas. Kau puas!

Untuk keseronokan seperti itu, budak hingusan manapun akan lupakan saja lebam kecil dan tengking amarah yang singgah ke cuping telinga. Itulah syurga! Saat kau membonceng motorsikal ke mana sahaja, hingga pernah lelaki itu singgah di kedai kopi atau restoran. Layan kehendak kau mahu makan apa saja sampai kau rasa dilayan macam anak raja, yang tersesat masuk kampung, dijumpa dan dibela orang biasa. Dalam semua perkara, kaulah yang diutama! Dirinya sendiri hanya menjadi yang kedua atau ketiga.

Waktu dia membanting padi, kau seorang diri temankan lelaki ini. Main guling-guling dan lompat tinggi-tinggi atas jerami. Pulang ke rumah, kau diserang gatal satu badan tapi kau puas dapat simpan kenangan. Jadi pemerhati setia seorang lelaki cari rezeki dunia. Mengerah kudrat yang tidaklah sekuat mana, tapi dia rela. Kau ikut dia ke majlis mana saja. Kau lihat dia penuh karisma waktu berbicara. Rakan-rakannya selalu saja mengiya apa yang dia kata. Dia orang kuat parti yang dia yakin dan percaya. Kau masih ingat rutinnya setia tercegat dan berlegar ligat di pondok panas waktu pilihanraya. 

Itu semua cerita lama. Lelaki itu sudah tertanam jasadnya dalam bumi Tuhan yang esa. Tak bernyawa. Kaku menunggu masa untuk dibangkitkan semula, dan kau tiba-tiba hiba tak terkata. Kenalah pula saat kau diserang emosi sendiri kerana masalah yang sengaja kau cari. Kau lupa umur kau sudah suku abad. Ya, 25 tahun. Kau menangis tak henti teresak-esak macam apa yang kau pernah buat 20 tahun sebelumnya. Kau menangis macam waktu kau tak dapat apa yang kau hendak daripada lelaki yang sama 20 tahun sudah. Kau tak peduli, biarlah deraian air mata kau memecah sunyi mengganggu mana-mana penghuni. Sebab kau rindu sangat lelaki itu. Sebab rindu kau yang tidak tertahan. Hilang rasa malu, yang ada cuma azab menanggung rindu. Kau menangis sebab tiada lagi orang yang akan tengking marah silap kau. Kau menangis sebab tak ada lagi orang yang akan dengar cerita-cerita menarik kau. Kau menangis sebab kau tak sempat dan tak boleh lagi ucap, "saya sayang ayah!". kau menangis sebab kau tak boleh ucap terima kasih, untuk sayang dan cinta, untuk segala jasa, untuk bakat yang turun daripadanya, dan kau menangis kerana kau tak dapat ucap terima kasih sebab sekurang-kurangnya dia telah jadikan kau manusia. Waktu itu kau menangis sepuas-puasnya dan tak hiraukan apa-apa. Kalau Tuhan sudi, kau bermohon Tuhan hantar pesanan ini:

"Terima kasih ayah, aku rindu!. Maaflah lama tak mengirim doa dan bacaan suci kalam Yang Esa. Aku terlalu sibuk dengan urusan dunia. Aku lalai dan alpa. Aku mungkir janji untuk jadi anak yang soleh dan setia. Dah berbulan tak kirim bacaan Yaa Siin, hari ini aku kirim. Aku tak mahu jadi yang dulu, aku mahu jadi yang baru dan aku mahu terus merindu. Supaya aku tak lupa kirim doa dan kalam mulia, jaga kau di barzakh sana!!!"

Al-Fatihah buat ayahanda Abd Rahman Bin Endut
25 November 2004 meninggalkan kami sekeluarga untuk berjumpa pencipta.
Aku rindu kamu, setiap masa.



Tuesday 22 November 2011

Siapa Mangsa Siapa

Malam ini bulan menangis lagi
Titis-titis air mata pengharapan
Tertebak dalam keliru keharuan
Terlindung di balik awan dan langit malam
Walau pungguk cuba perhati
Takkan terlihat
Kerana jarak tak pernah dekat

Pungguk sering mengadu
Sakit merindu sedih menunggu
Bulan singgah jatuh di riba kalbu
Entah bila akan berlaku
Mungkin pungguk sudah lupa
Siapa mangsa siapa

Bulan layu tergantung
Termenung
Persoal "Bukankah pungguk bersayap keramat?"
Bisa terbang mesra
Redah laju ruang angkasa
Bawa berita
Bahwa dia benar-benar cinta

Perit pedih perasaan
Bukan bukti biasa
Soal kecintaan dan harapan

Engkaukah bulan
Ataukah pungguk yang merindukan
Marilah bersatu
Dalam malam yang penuh syahdu



Wednesday 16 November 2011

Azab

Kulit yang tersiat
Nampak luka merah saga
Belumpun kering tersejat
Kau tumpahkan busa durjana
Gaul cairan pekat darah
Sakitnya amat
Jerit pekik melolong
Tahan azab cukup agung bukan bohong
Rasai realiti

Tapi
Tak seazab sakit rindu ini



Monday 14 November 2011

Lemas

Cemas bawa lemas.
Hati tenggelam, direndam dalam lautan cinta luas
Mana dan siapa yang mampu berenang pantas
Selamatkan hati yang semakin merasa nikmat puas
Puas dalam lemas



Tuesday 1 November 2011

Teknik Membidas (1)

Fakta Dibidas Dengan Fakta
Ini teknik paling atas dalam senarai teknik membidas. Fakta yang salah dibetulkan dengan fakta yang tepat. Fakta yang kelihatan tepat dibetulkan dengan fakta yang LEBIH tepat. Anda hanya akan mampu melakukan teknik bidasan ini apabila menjadikan minat dan hobi membaca ibarat tindakan bernafas. Tidak boleh tidak, mesti! Setiap hari!

Sesuatu hujah akan terlalu mudah untuk dibidas andai kita tahu isu tersebut. Namun, untuk menjadi seseorang yang outstanding ketika membidas, tidak cukup dengan hanya tahu, kita perlu memahami dan menghadam isu itu dan untuk mencapai level ini, kita harus memahami susur galur sesuatu isu. Maknanya soal sebab dan akibat, sejarah dan perjalanan cerita perlu dikuasai ibarat susunan cerita semua isu sudah ada di dada. Disoal sahaja dan anda akan mampu buka dan tutup cerita tanpa ragu dan curiga.

Apabila membaca, cubalah menguasai semua perkara. Fokuskan dengan sesuatu yang di luar bidang anda. Contohnya, jika anda pelajar bidang pendidikan yang seharusnya mahir dan sudah menguasai perihal pendidikan dalam dan luar negara, eloklah untuk membaca dan menguasai bidang-bidang lain pula.

Namun. dalam sesetengah keadaan, anda tidak semestinya perlu menguasai sesuatu isu secara terlalu rinci hingga ingin menghafal setiap angka dan figura secara tepat. Kadang-kadang pengetahuan kita bersifat agak umum tetapi tetap akan membantu dalam membidas.

Contohnya, andai pihak lawan cuba menunjukkan kelemahan Malaysia dalam menguasai sukan F1, dengan mengemukakan hujah pemandu negara hanya berjaya berada di petak 64 ketika perlumbaan mula berlangsung. Bidaslah dan hiperbolakan kesilapan itu untuk menunjukkan si pengucap sebagai 'jahil' dan jauh tersilap. Anda mungkin tidak tahu di petak mana pemandu kita berada. Cukup untuk mengetahui, dalam satu perlumbaan F1, jumlah kereta paling banyak yang akan berada di atas litar (pusingan awal) hanyalah 24!