Saturday 31 December 2011

Membelek helai-helai 2011

Hari ini sudah 1 Januari 2012.

Campur baur perasaan menghias kanvas 2011 yang aku, engkau dan kita semua tinggalkan. Hidup aku, sorotannya dalam pelbagai warna. Klise hidup yang tiada siapapun bisa halang sebab ini sebuah ketetapan. Kalau nak semua gembira dalam hidup, pergi cari Tuhan, jadi pemuja setia yang tak pernah melupakan Dia. Kau dapat syurga, kau akan dapat semua, kau akan selamanya gembira.

Tapi ini dunia, kita takkan dapat terjun dalam nikmat hidup sempurna ikut apa yang kita mahu. Ini hidup yang kadangkala kau jumpa apa yang kau suka, tapi nikmatnya tak selamanya. Ada yang kau rasa kau mahu, tapi itu salah di sisi Tuhanmu, salah dalam tulis ukir kitab agamamu. Hidup adalah soal mencari dan soal mematuhi Rabbi.

Tahun 2011 aku dinobat sebagai Johan Pidato BM Antarabangsa kategori Nusantara. Gembira tak terkira. Paling aku gembira bukan sebab dapat titlenya. Tapi kerana aku bisa titiskan air mata bangga ibu. Pertandingan itu disiarkan live seluruh negara. Aku dapat dedikasikan buat ibu yang menonton langsung di kampung.

Tahun ini juga aku praktikal mengajar di SMK Tun Perak. Denda pelajar berdiri di luar kelas. Diperli dalam blog dan digosip sesetengah mereka. Hahaha. Pengalaman lucu. Tak apa, aku juga jumpa blog pelajar yang memuja. Mungkin kerana akuni 'cikgu selebriti' atau hanay perasan sendiri. Aku melatih pelajar yang terlibat dengan pidato, nasyid, forum dan tinggal di asrama sebagai pembantu warden. Aku benar-benar rindu semua entiti yang wujud di sini, yang ajar aku betapa ilmu terlalu mahal dan biar apa orang kata, profesion sebagai guru tak glamour di mata manusia, tapi mulia di mata Yang Esa. 

Tahun ini aku konvo. Seronok diraikan. Seronok mengisi beberapa ruangan akhbar. Seronok lagi bila wajah ibu dan aku turut wujud jadi tatapan. Aku geram campur marah, peluang untuk mewakili rakan-rakan bagi menyampaikan ucapan telah dinafikan. Tapi aku sudah memaafkan mereka yang lalai dan agak lembab melakukan tugasan. Aku mangsa keadaan. Tapi tak apa, pada setiap sidang, video yang turut sama memuatkan wajah dan cerita kejayaan aku disiarkan. Bagi setiap orang paling penting yang berucap setiap sidang, nama dan pencapaian aku meniti di bibir mereka. Aku tetap ceria. Senyum sampai telinga.

Aku mencari-cari kerja yang sesuai dengan jiwa dan menunggu panggilan orang berkepentingan dalam politik negara. Pertama kalinya menapakkan kaki di pejabat PM. Ya, PM maksudnya Perdana Menteri. Berdiskusi dengan pegawai khas beliau. Aku digambarkan akan memenuhi ruang dan peluang untuk berada bersama pasukan ini yang akan memberi kesan signifikan political mileage orang no.1 negara. Sampai sekarang belum ada berita. Aku tak kisah, rezeki di mana-mana.

Aku dapat anak buah baru. Gembira untuk kakak yang sudah hampir dua tahun menunggu. Nang Zara Qasriena nama puteri comel kuat menangis. Aku sayang sama sahaja semua anak-anak buah. Semuanya memang buah hati aku. Kesayangan yang takkan terlawan.

Ini paling mengesankan hidup. Aku bagai menongkat langit runtuh apabila ibu disahkan menghidap kanser rahim peringkat 4. Tangis dan sendu jadi melodi dan hela nafas saban waktu. Seluruh keluarga berusaha dapatkan rawatan terbaik untuk manusia paling kami sayang. Hampir sebulan lebih ibu bertarung dengan sakitnya. Susut berat badan, kadangkala wajah lesu tanpa senyuman. Aku berikan yang terbaik pada ibu saat genting ini. Tapi dialah superwoman paling tabah dan kuat. Aku dan adik-beradikpun tak sekuat ibu. Lihat dia tanggung seksa dan sakit sepanjang kimoterapi, aku rasa aku yang patut ganti, tapi aku pasti bahwa aku tak sekuat individu ini, Nafisah binti A. Rahman. Terima kasih Tuhan kerana akhirnya menyembuhkan. Sujud dan syukur kami, moga kekal berpanjangan.

Aku hampir silap jalan, hidup kadang-kadang boleh mendorong kita tersilap memilih jalan bila sesat dan bersendirian di antara simpang. Lucu dan kelakar bila ingat semula. Hahaha. Terima kasih Tuhan yang masih sayang, kerana itu Dia mengingatkan. Terima kasih manusia jujur dan ikhlas, kerana sudi menyedarkan. Dan terima kasih buat akal serta iman yang masih tersimpul dalam  satu ikatan, kerana rela mengetuk lena,  mengajar bahwa kebahagiaan sementara bisa membawa derita selama masa. Cuma, betulkan saja yang salah, bukan bermakna semua mesti musnah dan punah. Teruskan yang betul. Betulkan yang tidak lurus..

Namun, 2012 tidak menjanjikan apa-apa kalau aku tidak pantas berusaha dan merancang dengan jiwa yang enggan mencari makna sempurna...

Friday 25 November 2011

Akan tiba masa.

Akan tiba masa, kau menyayangi orang yang kau tak pasti apa dia akan kembali membalas cinta dan sayang kau kepadanya. Lebih malang, orang lain kau abaikan, kau sisihkan. Insan-insan yang selama ini menumpangkan rimbun cinta dan sayangnya buat kau berteduh, kau lupakan.Sebab kau terlalu mengharap pada manusia yang belum tentu memahami kau seperti orang-orang istimewa, yang selama ini menghabiskan masa bersama, menginjak tanah berkongsi duka dan air mata. Mereka yang tidak lokek dengan jiwa tulus, kasih kudus.

Kau lupa pada orang yang selalu memberi sebab kau terlalu sibuk mencari pada yang tak pasti. Akhirnya, kau lukakan hati-hati manusia berharga di seputar kehidupan kau. Lebih hiba, kau lukakan hati kau sendiri, yang sebenarnya terlalu mudah terluka tapi entah bila akan sembuh semula. Belajarlah untuk menghargai yang ada, sebab kaupun bukanlah sesiapa.


Pernah?

Pernahkah kau dalam usia suku abad terbeban dengan rasa rindu orang yang pernah kau banggakan dulu? Rasa rindu pada lelaki yang kau kagumi? Lelaki yang kau sayangi sepenuh hati? Lelaki yang pernah kau puja macam dewa? Waktu itu kau kecil dan tak faham apa-apa. Yang kau tahu, lelaki ini hebat dan tiada yang setanding dengan dia. Ah, senang cerita, dalam banyak-banyak Superhero yang kau tonton di kaca TV atau mana-mana komik yang pernah kau tatap daripada kulit ke isi, semuanya biasa-biasa saja bagi kau. Tetapi lelaki inilah satu-satunya adiwira sebenar. Terbaik dan sukar dicabar.

Walau kau pernah disebat dengan penyangkut baju atau apa saja yang sempat dicapai lelaki itu, kau tetap agungkan dia. Lagipun dia pukul bersandar asbab. Sebuah cinta yang takkan terungkai maksud dan dalamnya.Walau kau dipukul, tetapi lelaki yang sama akan memujuk. Bawa kau keluar bonceng motorsikal bersama dia keliling desa. Jumpa kawan-kawan dia di seputar kampung dan jika beruntung, adalah dalam kalangan rakan-rakannya yang menghulur syiling warna emas atau lebih elok, not-not kertas. Kau puas!

Untuk keseronokan seperti itu, budak hingusan manapun akan lupakan saja lebam kecil dan tengking amarah yang singgah ke cuping telinga. Itulah syurga! Saat kau membonceng motorsikal ke mana sahaja, hingga pernah lelaki itu singgah di kedai kopi atau restoran. Layan kehendak kau mahu makan apa saja sampai kau rasa dilayan macam anak raja, yang tersesat masuk kampung, dijumpa dan dibela orang biasa. Dalam semua perkara, kaulah yang diutama! Dirinya sendiri hanya menjadi yang kedua atau ketiga.

Waktu dia membanting padi, kau seorang diri temankan lelaki ini. Main guling-guling dan lompat tinggi-tinggi atas jerami. Pulang ke rumah, kau diserang gatal satu badan tapi kau puas dapat simpan kenangan. Jadi pemerhati setia seorang lelaki cari rezeki dunia. Mengerah kudrat yang tidaklah sekuat mana, tapi dia rela. Kau ikut dia ke majlis mana saja. Kau lihat dia penuh karisma waktu berbicara. Rakan-rakannya selalu saja mengiya apa yang dia kata. Dia orang kuat parti yang dia yakin dan percaya. Kau masih ingat rutinnya setia tercegat dan berlegar ligat di pondok panas waktu pilihanraya. 

Itu semua cerita lama. Lelaki itu sudah tertanam jasadnya dalam bumi Tuhan yang esa. Tak bernyawa. Kaku menunggu masa untuk dibangkitkan semula, dan kau tiba-tiba hiba tak terkata. Kenalah pula saat kau diserang emosi sendiri kerana masalah yang sengaja kau cari. Kau lupa umur kau sudah suku abad. Ya, 25 tahun. Kau menangis tak henti teresak-esak macam apa yang kau pernah buat 20 tahun sebelumnya. Kau menangis macam waktu kau tak dapat apa yang kau hendak daripada lelaki yang sama 20 tahun sudah. Kau tak peduli, biarlah deraian air mata kau memecah sunyi mengganggu mana-mana penghuni. Sebab kau rindu sangat lelaki itu. Sebab rindu kau yang tidak tertahan. Hilang rasa malu, yang ada cuma azab menanggung rindu. Kau menangis sebab tiada lagi orang yang akan tengking marah silap kau. Kau menangis sebab tak ada lagi orang yang akan dengar cerita-cerita menarik kau. Kau menangis sebab kau tak sempat dan tak boleh lagi ucap, "saya sayang ayah!". kau menangis sebab kau tak boleh ucap terima kasih, untuk sayang dan cinta, untuk segala jasa, untuk bakat yang turun daripadanya, dan kau menangis kerana kau tak dapat ucap terima kasih sebab sekurang-kurangnya dia telah jadikan kau manusia. Waktu itu kau menangis sepuas-puasnya dan tak hiraukan apa-apa. Kalau Tuhan sudi, kau bermohon Tuhan hantar pesanan ini:

"Terima kasih ayah, aku rindu!. Maaflah lama tak mengirim doa dan bacaan suci kalam Yang Esa. Aku terlalu sibuk dengan urusan dunia. Aku lalai dan alpa. Aku mungkir janji untuk jadi anak yang soleh dan setia. Dah berbulan tak kirim bacaan Yaa Siin, hari ini aku kirim. Aku tak mahu jadi yang dulu, aku mahu jadi yang baru dan aku mahu terus merindu. Supaya aku tak lupa kirim doa dan kalam mulia, jaga kau di barzakh sana!!!"

Al-Fatihah buat ayahanda Abd Rahman Bin Endut
25 November 2004 meninggalkan kami sekeluarga untuk berjumpa pencipta.
Aku rindu kamu, setiap masa.



Tuesday 22 November 2011

Siapa Mangsa Siapa

Malam ini bulan menangis lagi
Titis-titis air mata pengharapan
Tertebak dalam keliru keharuan
Terlindung di balik awan dan langit malam
Walau pungguk cuba perhati
Takkan terlihat
Kerana jarak tak pernah dekat

Pungguk sering mengadu
Sakit merindu sedih menunggu
Bulan singgah jatuh di riba kalbu
Entah bila akan berlaku
Mungkin pungguk sudah lupa
Siapa mangsa siapa

Bulan layu tergantung
Termenung
Persoal "Bukankah pungguk bersayap keramat?"
Bisa terbang mesra
Redah laju ruang angkasa
Bawa berita
Bahwa dia benar-benar cinta

Perit pedih perasaan
Bukan bukti biasa
Soal kecintaan dan harapan

Engkaukah bulan
Ataukah pungguk yang merindukan
Marilah bersatu
Dalam malam yang penuh syahdu



Wednesday 16 November 2011

Azab

Kulit yang tersiat
Nampak luka merah saga
Belumpun kering tersejat
Kau tumpahkan busa durjana
Gaul cairan pekat darah
Sakitnya amat
Jerit pekik melolong
Tahan azab cukup agung bukan bohong
Rasai realiti

Tapi
Tak seazab sakit rindu ini



Monday 14 November 2011

Lemas

Cemas bawa lemas.
Hati tenggelam, direndam dalam lautan cinta luas
Mana dan siapa yang mampu berenang pantas
Selamatkan hati yang semakin merasa nikmat puas
Puas dalam lemas



Tuesday 1 November 2011

Teknik Membidas (1)

Fakta Dibidas Dengan Fakta
Ini teknik paling atas dalam senarai teknik membidas. Fakta yang salah dibetulkan dengan fakta yang tepat. Fakta yang kelihatan tepat dibetulkan dengan fakta yang LEBIH tepat. Anda hanya akan mampu melakukan teknik bidasan ini apabila menjadikan minat dan hobi membaca ibarat tindakan bernafas. Tidak boleh tidak, mesti! Setiap hari!

Sesuatu hujah akan terlalu mudah untuk dibidas andai kita tahu isu tersebut. Namun, untuk menjadi seseorang yang outstanding ketika membidas, tidak cukup dengan hanya tahu, kita perlu memahami dan menghadam isu itu dan untuk mencapai level ini, kita harus memahami susur galur sesuatu isu. Maknanya soal sebab dan akibat, sejarah dan perjalanan cerita perlu dikuasai ibarat susunan cerita semua isu sudah ada di dada. Disoal sahaja dan anda akan mampu buka dan tutup cerita tanpa ragu dan curiga.

Apabila membaca, cubalah menguasai semua perkara. Fokuskan dengan sesuatu yang di luar bidang anda. Contohnya, jika anda pelajar bidang pendidikan yang seharusnya mahir dan sudah menguasai perihal pendidikan dalam dan luar negara, eloklah untuk membaca dan menguasai bidang-bidang lain pula.

Namun. dalam sesetengah keadaan, anda tidak semestinya perlu menguasai sesuatu isu secara terlalu rinci hingga ingin menghafal setiap angka dan figura secara tepat. Kadang-kadang pengetahuan kita bersifat agak umum tetapi tetap akan membantu dalam membidas.

Contohnya, andai pihak lawan cuba menunjukkan kelemahan Malaysia dalam menguasai sukan F1, dengan mengemukakan hujah pemandu negara hanya berjaya berada di petak 64 ketika perlumbaan mula berlangsung. Bidaslah dan hiperbolakan kesilapan itu untuk menunjukkan si pengucap sebagai 'jahil' dan jauh tersilap. Anda mungkin tidak tahu di petak mana pemandu kita berada. Cukup untuk mengetahui, dalam satu perlumbaan F1, jumlah kereta paling banyak yang akan berada di atas litar (pusingan awal) hanyalah 24!


Saturday 29 October 2011

Ketakutan Berdepan Pasukan Handal

Benar, dalam apa jua bidang yang anda ceburi, pasti akan ada tanggapan tentang siapa pasukan yang paling handal atau hebat yang sukar untuk dikalahkan. Debat juga tidak terkecuali. Saya percaya, setiap pendebat yang melalui zaman berbeza akan memilih universiti berbeza sebagai pasukan yang mereka anggap sebagai bagus dan layak digelar lagenda. Namun, jangan kerana mengangkat sesetengah pasukan sebagai hebat atau meletakkan kepercayaan bahawa mereka adalah pasukan yang lebih baik, anda menjadi manusia dan pasukan yang cepat mengalah dan merasa takut untuk berdepan mereka. Saya ingin berkongsi tips bagaimana menghadapi pasukan yang anda rasakan handal dan jauh lebih baik daripada anda.

Sebelum itu, kita saksikan video muzik terbaru daripada penyanyi yang dianggap paling hebat di Malaysia. Sila saksikan sehingga tamat.


Kita mungkin merasakan video muzik ini sebagai hebat dan terbaik kerana penyanyinya. Dikenali, dihormati dan disegani. Mari kita cari kelemahannya.

0.31 Salah seorang penari menjatuhkan topinya secara tak sengaja. Dalam konteks antarabangsa, kesilapan sebegini sudah dikira mencacatkan video muzik. (Budaya Malaysia, tak apalah, sikit saja..)

1.23 hingga 1.34 Perhatikan 2 orang penari wanita yang berbaju kuning (dengan outer hitam) dan yang berbaju putih (plain). (Kedua-duanya gagal synchronize kan tarian mereka dengan yang lain)

1.53 Siti Nurhaliza melajukan langkah (seolah-olah mengejar fokus kamera, planning yang gagal )

2.27 Lihat seorang penari wanita bertudung, yang menggalas handbag di bahu kanannya. (Tengok sampai habis dia menari, ini part paling seronok.hehe)

2.36 hingga ke akhirnya. fokus kamera hanya untuk beberapa baris sahaja yang berada di depan. Sedangkan tujuan sebenar penceritaan video adalah untuk menunjukkan betapa ramai yang turut menari bersama. (Kita boleh anggap, hanya penari sebenar yang difokuskan, bukan peminat yang dijemput menari..)

3.07 Penari sama (yang menjatuhkan topinya) mengubah arah laluan secara tiba-tiba yang membawa maksud bahawa dia memang sedang dirakam dan menjadikan semuanya sebagai tidak real.

Saya bukan sengaja meletakkan video ini sebagai santapan mata anda. Di sini anda boleh belajar beberapa perkara.
  1. Mula-mula, buang tanggapan wujudnya pasukan yang handal dan tidak boleh dikalahkan.
  2. Sedarlah, walaupun sesebuah pasukan debat itu dikatakan hebat dan handal, mereka tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. (Tiada pasukan yang sempurna) 
  3. Kekuatan sesebuah pasukan boleh jadi terletak pada seorang anchornya. (Siti Nurhaliza). Tapi ahli pasukan yang lain boleh menjadi liabiliti dan berdepan risiko besar melakukan kesilapan. (Para penari)
  4. Selidik dan analisis kesilapan ahli pasukan yang bersifat liabiliti. Namun jika berjaya menunjukkan kelemahan anchor, itu bonus. Apatah lagi jika anda berjaya twist keadaan untuk menampakkan yang dialah paling lemah dalam pasukan kerana..
  5. Anchor juga tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.
  6. Kadang-kadang kita melihat sesuatu kesilapan sebagai kecil, tapi itulah yang boleh menjadi peluru paling ampuh untuk menjatuhkan musuh.
  7. Kehebatan untuk menggunakan seni hiperbola (exaggerating things) amat diperlukan untuk menampakkan sesuatu kesilapan sebagai tidak boleh diterima dan dimaafkan.
  8. Kesilapan (yang kononnya kecil) boleh di expand untuk dijadikan asas serangan secara berterusan.
  9. Jangan takjub dengan seni persembahan lawan, anda akan terleka dan terlupa untuk mencari kesilapan. Sedangkan itulah tugas hakiki dalam perdebatan.

Friday 28 October 2011

Due to what

Due to what
    that makes you love me
Am I your destiny?

Due to what
    that makes you in agony
Because I have no money?

Due to what
    that makes you feel lousy
Because I don't bring lucky?

Due to what
    will you take me as me
When what you want is all free?

Due to what
    will you truly appreciate me
When I'm gone from reality? 

Due to what
    may happen tomorrow or the day after
I promise you in the name of the only God
    that I will love you better,
and better


Sunday 23 October 2011

Such a loser! Boo!

Indeed, I effing hate these kind of people, who are just bunch of losers. Why so?

This people are such a pretender. They hide behind other people so that others couldn't see their true colours. Worse case, they will constantly pretending that they are belong to the pious and religious group. To make it even effingly bad, they'll continuously spread the 'created view' of the victims. 

In the end, those victims will be pictured as this, that and those, with the view that has been created and built by those lame pretenders. Pity them, it apparently reflects on who they truly are.

How? Easy. You tell everybody that your friend is a liar. Your other friend, his lectures, relatives and even his family might think that is true. In the end, We might find that the real liar is you whilst you victimised your friend to indirectly tell others about you, yourself. *a liar is just an example. change it accordingly to what or who you truly is*

You don't want to force the whistle blower to blow their whistle as you know the massive impact you'll suffer later. You yourself know who you are, and other than God, some of your 'hidden' enemies might as well knew your real self. Then stop hiding behind others, stop being such a loser! Boo!

p/s : you know who you are ;)


Saturday 15 October 2011

Loser, hikmah dan gurauan.

*Everybody indeed, have their own so-called a story as a loser- Nidurrima

Jangan tipulah, semua orang ada cerita memalukan tentang diri. Kalau tidak memalukanpun, pasti semua orang pernah menjadi orang yang kalah dalam hidup masing-masing sekurang-kurangnya sekali.  Kalah atau gagal bukanlah sesuatu yang luarbiasa kalau kita boleh memahami hikmah yang Tuhan sediakan di sebalik setiap kegagalan.

Aku, sama macam kamu, kamu dan kamu, yang pernah gagal dalam hidup. Gagal dan kecewa ibarat teman rapat yang tidak mampu dipisahkan. Kalau gagal dan tidak ada sedikitpun rasa kecewa, kau perlu jumpa pakar psikologi untuk rawatan segera.

Setiap orang akan ada cerita sendiri tentang kegagalannya mendapatkan sesuatu. Kalau mudah mengalah, memang susahlah mendapat tahu soal hikmah yang Tuhan sembunyikan. Dalam banyak perkara, apabila kita tahu hikmahnya, mungkin kita berhenti mencuba dan ini sudah jadi cerita yang berbeza.

Bila kau kalah dan kau jadi bahan gurauan pada peringkat paling dalam, bawa emosi kau tenggelam dalam kesakitan. Mungkin hikmahnya belum kau tahu. Tapi satu yang pasti, bukan semua manusia akan terlepas daripada ujian Ilahi. Hari ini kita melontar ketawa pada mereka yang diuji, esok lusa mungkin giliran kita pula, mengambil tempat dia.


Thursday 13 October 2011

Makanan Saka


kepuk-kepuk kelabu berserakan
macam gentayangan makhluk terbang ke kayangan
melayang cantik, hilang
hanya dengan sekali nyalaan
memuas nafsu membaham jasad dalam diam
nikmat ini
hanya ahli yang memahami

demi setiap sedut dan hembus berulang
bukanlah pemuja tegar
yang lebih pantas dibunuh adalah makhluk seputar
ramai yang tahu
bukan sedikit yang sedar
tapi nikmat kebersamaan jauh lebih akbar
rasa ini
bukan semua mengerti

sewaktu melepas hajat
sesudah melunas suap
atau hanya menerang borak
nikmat kepul-kepul sang asap
adalah nikmat yang tak terucap


Tuesday 11 October 2011

Ironi 5

Mesyuarat syarikat telekomunikasi terbesar, Celcomax, tingkat 5 bangunan sendiri, air teh o dan dua jenis kuih.

Dato' Kun Fayakun (CEO) : Dalam projek ini, kita akan tebang lebih kurang 5 hektar hutan. Ini adalah sumbangan terbesar syarikat kita sebagai salah satu tanggungjawab sosial.

Razif Jailani (kerani biasa) : Untuk apa hutan ini ditebang tuan? Bangunan HQ yang baru ke boss?

Dato' Kun Fayakun (CEO) : Kita akan proses semua pokok yang ditebang untuk dibuat kertas, kita akan tulis 'Selamatkan Hutan' untuk diagihkan seluruh negara. Ini projek mega kita untuk kepentingan bersama. Kempen untuk alam sekitar yang pertama kali syarikat kita melibatkan diri..

Razif Jailani (kerani biasa) : Bodoh tak bertempat rupanya...(dalam hati)


Mana nak cari

Mana nak cari
perempuan manis nak buat bini
yang cekal, kental lagi berani
bukan yang buntal, dangkal dan pendengki

Perempuan yang pada hari esok lusa
bila emak aku sedang membilang hari tua
saat dan waktu aku keluar kerja
dia jadi pembantu aku, dia mahu jadi ahli syurga

Waktu ibu terbaring atas tilam nipis
yang mungkin ada tikanya berserakan najis
dia bersihkan, dia cuci penuh kesabaran
dia tukar lampin busuk
tengik dan hapak berselang masa menusuk-nusuk
aroma yang menikam-nikam hingga ke rusuk
dia tahan
sabar dan tabah atas sebuah ujian

Dia senyum dan layan ibu bagai ratu
dia tukar kain batik hancing dengan yang baru
dia bersih dan lapkan ibu
masih, dia senyum dan layan ibu bagai ratu
dia bantu ibu berwudhuk, betulkan ibu duduk
solat ibu selagi ada daya dialah yang bantu

Perempuan itu tak mengeluh, jauh sekali nak mengadu
haring dia cium itu dunia, harum yang menanti dia di alam syurga
dia ikhlas, dia tak pernah culas

Dia perempuan yang seiring masa berputar
selagi itulah dia sedar
syurga aku sang suami selamanya milik ibu
sedang syurga dia sebagai isteri, kuncinya hanya pada aku
dia taati aku, abdi pada ibu
mana nak cari
perempuan macam ini
aku nak buat bini

The 'Three' Memory

We both young when it get started
The memory
We sat on the ground against the mango tree
You brought your books, they always in three
It reminds me
On how I hate you for being nerd, one part of you
But I love you for everything else you do

When the wind touches you gently
Blow your hair side ways
That very moment I found you so sexy
Crumbled my heart, Oh how I missed those days

Your eyes were on the book, you saw passion
Which I pictured as only boredom
Caused me to put my Albert in your nose
Simultaneously stood you up and yelled, "That was gross!"
Indeed, you look pretty when you get angry

Three years back
You've been act like scientist
Telling me what is not and what is theory
You never realize that I'm still struggle with my a.b.c..
Hey girl, don't you ever know the term 'idiocy'?
That is me! And will always be!

This new day, you already a star
And I will always be just your scar
You may forget me, but I 'm begging you please, not the mango tree
It carved with your lovely name and it took ages for me

Silly Milly Lilly

I was just a pedestrian
When you stared at me in your Five Series
Through the half tinted window
I saw beauty eyes in shadow
Neither envy nor aggrieved
You never say 'Hi'
It caused me not to pry

Silly Milly Lilly
You and your own destiny
In the world you defined luxury
Will never ever change me
To be me

Tomorrow I will again be a pedestrian
Walking through my way
Watching you boastfully fly
Arrogantly touch the sky
But someday when you felled down
You should never cry

Pungguk Rindukan Bulan

Sunyi. Cuma kadang-kadang dengar desir angin tolak daun dan ranting kering. Macam bunyi orang berbisik, gemersik. Bawah pohon besar yang terjulur akar. Jadi pengawal setia sebuah kolam bukan hasil tangan manusia. Di situ istana sang puru yang berbilang ramai. Ada yang di darat, di air bahkan ada yang menumpang apung atas dedaun teratai. Puru berpesta. Koloninya bukan calang. Makhluk yang lain hanya menumpang pandang. Paling tidak, dengar keriuhan dari sudut paling jauh semak samun di seputar.

Pungguk datang terbang dan singgah. Terkebil-kebil. Matanya hanyut perhati puru dan seluruh kerabat dalam keraian. Riuh simfoni yang entah makhluk mana akan faham, bukanlah kita.

"Aku selalu terbang singgah bersama bekal dengki yang tiada sudah, tak pernah habis dijamah," Pungguk.

"Kenapa?" Wakil puru.

"Kamu, puru yang semua hidup dalam kelompok. Tapi aku hanya pungguk. Hanya pungguk." 

Puru diam. Bukan seekor, tapi semua puru. Kaku semerta dengan ayat pungguk. Terlalu dalam memugar maksud, tak perlu dialun meliuk-lentuk. Puru semuanya faham. Serentak angguk.

"Kamu, magis memanggil hujan datang. Bila dan ketika aku terpaksa terbang pulang ke sarang," sahut pungguk lagi.

Wakil puru melompat dari tebing. Berenang seputar ke daun teratai terhampir. Kibaran daun teratai yang terapung jadi jambatan. Mengulang lompat hingga ke pusat kolam. Di situ, teratai paling mekar hidup segar. Cantik dan bersinar bila disimbah cahaya bulan malam. Wakil puru berdiri. Koloninya tercengang. Mata mengatur tumpu pada yang seekor itu.

"Pungguk hanya masih rindukan bulan. Rindukan bulan." Wakil puru teriak.

Kelompok puru kembali berpesta. Simfoni sama mengulang masa.

Ironi 4

Jam 7.50 pagi, ketika kebanyakan umat Islam masih tidur dan enggan bangun membuka pintu rezeki. Radio BajetHot.FM sedang ke udara bersama deejaynya yang terhangat, Farahin Fauzanin.

Penyampai : Hai, Farahin Fauzanin in da boom, anda kembali bersama saya dalam segmen, 'Bangun Pagi Dengar Radio' dan kita sekarang ada seorang pemanggil. Hello siapa di sana..?

Pendengar : Hello, saya Rizkina Ramona dari Johor Bahru..

Penyampai : Ya Rizkina, teruskan dengan ucapan anda, nak dedikasikan buat siapa ya Rizkina?

Pendengar : Okay, saya nak bagi ucapan buat semua yang ada kat umahni..Buat mak yang tengah sediakan breakfast kat dapurtu.. Buat ayah yang tengah baca Harakah kat ruang tamu and tak lupa buat abang yang bangun pagi (tak sembahyang Subuh) terus bukak PC main game..

Penyampai : Baik, apa ucapan Rizkina untuk mereka?

Pendengar : Okay, dengan ucapan TENGAH BUAT APE TU SEMUA..?

Penyampai : ??? ~!@#$% (dalam hati)

Wednesday 28 September 2011

No, please don't

On bed, my eyes being prodigal tonight
Refused to close and starved for sight

Its say, "Look at the moon, she's crying."
"What makes you feel that the moon is a 'she'?" I reply
"Because it's crying and man don't cry"

"Really? You never let my tears down?" 
"You never let my emotion drown?" I ask enthusiastically 

"Never be my purpose, you had always forced me. I'm just a tool,"
"Blame me not for the path you choose, you fool!"
"But wait, you dare me to stop crying, do you?!" my eyes start provoking 

O the trouble, misery and the suffering
No, you my darling you shouldn't stop crying
Still I am mere human being
To hell with my pride
No more space to hide
So, please don't

"Ok then, I won't"



I want your word

I never need your money
What I merely want is your word
To create a poem
Which money can't buy
Will you give me some?
Or should I beg?
For your magical vocab
Beggar, never be one of my kind
Your word for what it takes, I don't mind

Forgive me if this is such a big request
But I've been in a long journey from east to west
Just to get your word
Only that
So that you and your smile
Never will I forget

Sunday 25 September 2011

Dua

Dua

Satu, aku
Dua, dia

Dua-dua bikin tangis insan dengan rahim suci
Kita paksa mutiara jernih berharga gugur laju
Cuma beza pada rela dan paksa
Kerna beza tingkah dan laku, engkau dan aku

Aku mahu jadi tangga ibu di syurga
Kau mahu jadi apa?
Bara neraka? Tapi untuk siapa? Tapi kenapa?

Wajah di helaian jemput ibu tatap
Aku lukis rentas bangga di wajahnya
Kau
Kau conteng murka
Kau megah derhaka
Jadi milik siapakah sebenarnya syurga?

Tuesday 20 September 2011

Selamat Datang Ke Kuala Lumpur

Selamat datang ke Kuala Lumpur
Tempat dosa dan pahala bercampur
Dengan jalan bersimpang-siur

Selamat datang ke Kuala Lumpur
Ada gelandangan menumpang dengkur
Sudut halus insan tafakur

Selamat datang ke Kuala Lumpur
Kota metro berderet pelacur
Bawa ke bilik bukan ke dapur

Selamat datang ke Kuala Lumpur
Syurga niaga meleleh liur
Ringgit berkepukpun bisa lebur

Selamat datang ke Kuala Lumpur
Ini kota libur
Ini syurga hibur
Kau akan lupa kubur

Soal hidup.

Selalu kita merumitkan kehidupan dengan falsafah yang tidak pernah menemukan titik hujung. Walhal, kita semua berada dalam sedar, bahawa hidup hanya berkisar tentang membuat pilihan. Pilihan-pilihan yang dibuat membawa kepada pilihan-pilihan yang lain pula. Jika tepat dan betul pilihan kita, rasa risau dan takut hanyalah bayang-bayang yang datang dalam mimpi saat kita masih kanak-kanak. Tidak lagi relevan untuk menghadirkan rasa takut dan bimbang. Saat dia datang, kita patut raikan dan lambai sebelum dia pulang. Kerana, kita juga hidup untuk keliru, waktu itu kita akan kenal makna ILMU.

Samada kita memilih untuk percayakan Tuhan atau tidak dan jika ya. Siapa Tuhan yang kita ingin percaya. Kalau sudah dapat, kita memilih untuk menyembahnya atau tidak. Jika ya, kita kemudian memilih untuk khusyuk atau tidak saat dahi cecah sejadah. Ya, hidup ini semuanya soal memilih yang betul. Untuk sampai ke garisan itu, kita perlu mencari dan meneliti supaya yang kita rasakan betul bukan hanya pada perasaan dan intuisi, tapi pada hakikat dan realiti.

Duit Raya


Duit raya adalah satu pilihan sahaja di hari raya. Kau boleh beri kalau kau mampu dan mahu. Kau tak perlu beri walau kau mampu tapi tak mahu sebab apalah gunanya memberi tanpa ikhlas, balasan dari Tuhan di Negeri Kemudian takkan jadi kenyataan. Aku rasa, kanak-kanak adalah golongan paling gembira di hari raya. Ya, mereka. Gambar anak buah aku di sebelah sudah cukup membuktikan segala-galanya.

Tahun ini aku mula beri duit raya buat anak-anak buah dan nenek. Walau masih belum kerja, aku cuma mahu rasa pengalaman memberi setelah hampir suku abad menerima. Hah, nikmatnya memang berbeza. Seronok tengok anak-anak buah gembira dan ceria. Seronok berkongsi sedikit nikmat yang ada. Bukankah hidup ini sementara dan apa yang kita ada sebenarnya bukanpun milik kita.

Apa yang dikaji, bukan apa yang diperhati.

 Itulah debat. Biarpun memerhati adalah sebahagian daripada tindakan penting dalam proses melakukan kajian, tetapi sekadar memerhati dan terus melakukan interpretasi takkan pernah mencukupi dalam sebuah perdebatan.

Observasi sangat signifikan dalam mana-mana perlaksanaan kajian, tentang apa-apa juga hal dan perkara. Observasi merangkumi penggunaan deria asas yang membawa kepada interpretasi keputusan. Pernah kita terfikir apa agaknya fungsi duri pada pohon kaktus? Jika berdasarkan pemerhatian, kita akan dapat melihat, duri tersebut menjadi pelindung kepada haiwan yang boleh memangsakan kaktus untuk mereka jadikan sebagai santapan atau kediaman. 

Inilah apa yang akan diperoleh apabila sekadar memerhati dan tidak mengkaji.
Hakikatnya, duri pada pohon kaktus berperanan menjadi agen untuk mengelakkan air di dalam badannya dinyahhidrat. Ini tidak menafikan fungsinya yang boleh dilihat berdasarkan pemerhatian semata-mata. Pengalaman penulis, berdebat berdasarkan kajian mendekatkan kita selangkah dengan kemenangan tetapi ini tidak bermakna soal teknikal perlu diabaikan. 

Sunday 11 September 2011

Debat Bukan Soal Persepsi


Siapa kata? Entri ini sengaja dimulakan dengan persoalan yang menyanggah tajuk kerana penulis bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pernyataan itu. Jika kita menyangka debat bukan soal persepsi, kita silap. Sering kita dengar dalam debat samada sebagai penonton atau sebagai peserta, pihak lawan atau pasukan kita sendiri menimbulkan persoalan berkenaan hujah dan pembawaan pihak lawan, yang mereka sifatkan sebagai berdasarkan persepsi. Hebat! Kononnya ini akan memberi kelebihan kepada pasukan sendiri yang mendakwa diri mereka berdebat berdasarkan fakta, gambaran realiti dan bukan persepsi.


Sedarkah kita, seawal kita mendapat satu berita atau mendengar sebuah cerita, kita akan membina persepsi sendiri. Apabila mendengar berita tentang kaitan Dato' Seri Najib dan Altantuya, kita membina persepsi untuk percaya samada benar Perdana Menteri terlibat atau tidak dengan pembunuhan Model dari Mongolia itu. Apabila menonton video seks yang dikatakan aksinya dilakukan oleh Dato' Seri Anwar, kita juga membina persepsi sendiri tentang kesahihan berita itu samada kita ingin percaya atau tidak. Bahkan, persepsi ini berkembang selepas kita mengikuti perkembangan cerita dan berita yang disebarkan. Soal fitnah, konspirasi, atau apa saja yang timbul selepasnya, kita sambung dan cambahkan persepsi yang sedia ada. Persepsi itu boleh jadi kekal atau berubah, statik atau bercambah.

Kita terpaksa mengubah persepsi sendiri apabila diundi untuk bercakap sesuatu yang pada asalnya tidak kita setuju. Andai anda percaya tindakan Amerika adalah punca kemusnahan Iraq dalam serangan 2003, anda perlu mengubah persepsi itu andai bergelar kerajaan dengan usul, "Kemusnahan Iraq: Salah Sendiri". Kita wajib mengubah persepsi sendiri untuk meyakinkan orang yang mendengar kerana keyakinan adalah gelombang  yang anda salurkan tanpa sedar. Sebab itulah, andai anda sendiri tidak yakin dan percaya dengan apa yang dikata, anda tanpa sengaja mengajak orang yang mendengar untuk turut sama tidak percaya. Dalam soal ini, para penonton dan hakim yang pastinya akan terkesan. Ingat, kadang-kadang kekuatan bahasa badan mengatasi kekuatan bahasa lisan.

Persepsi, seperti yang ditakrifkan Kamus Oxford bermaksud cara sesuatu dianggap, difahami, ditafsir dan diinterpretasi. Apa yang ditulis ini juga boleh jadi berdasarkan persepsi, anda boleh percaya atau tinggalkan sahaja sebagai bacaan suka-suka. Semua juga terserah pada bagaimana kita menginterpretasinya.

Seeloknya, tidak ada lagi pendebat yang akan mendakwa pihak lawan berdebat berdasarkan persepsi kerana kita semua melakukan perkara yang sama. Bezanya, ada yang berdebat dengan menampilkan persepsi dengan fakta yang bersalut figura, struktur dan sumber kajian yang cukup meyakinkan. Kita susun kemas dan ikat hingga nampak cantik dan padat. Tetapi perlu diingat, ada juga yang berdebat dengan menampilkan persepsi bersadur pemikiran logik, semantik atau idea sendiri dan tindakan ini sebenarnya jauh lebih berani.

Ironi 3

Ustazah Khairiah dan suaminya, Ustaz Wan Bentan terlibat dalam satu forum agama di Janda Baik, Pahang anjuran JKKKK 3 buah kampung yang berjiran. Pada sesi terakhir, Ustazah telah merumuskan isi perbincangan forum yang diberi tajuk ‘Kerja: Serakah VERSUS Ikhlaskah’.

“Tuan-tuan dan puan-puan, secara rumusannya. Kalau kita buat kerja, tak kisahlah berapa yang dibayar. Jika di dunia kita ikhlas, di akhirat pasti Tuhan akan balas, hidup indah, hati tak gundah.” Pap pap pap pap. Hadirinpun bertepuk tangan.

Dalam perjalanan pulang, dalam kereta Mercedes mata belalang, ustazah itu mencebik bibir pada suaminya. 
“Ni kali terakhir bee datang bagi talk kat sini.”

“Kenapa pulak bee?” Tanya suaminya.

“JKKKK bayar tiga ribu setengah je, selalu kita boleh dapat lima ribu tau!” kata ustazah dengan yakin dan penuh karisma.

Ironi 2

Azman Bin Abdullah Mahbub dihantar ke sebuah hospital swasta oleh anak-anak dan isterinya. Doktor yang merawat mengesahkan dia mengalami komplikasi paru-paru yang teruk akibat asap rokok. Doktor yang 
merawat menemubual isterinya.

Dr. Hassan Hellman    : Puan memang sedar suami puan adalah seorang perokok tegar bukan?

Puan Jamilah Mas’ud  : Ya, saya.

Dr. Hassan Hellman    : Berapa batang rokok sehari secara purata dihisap suami Puan?

Puan Jamilah Mas’ud  : Lebih kurang 7 kotak sehari. Erm… dalam 130 batanglah lebih kurang..

Dr. Hassan Hellman    : Wah, sangat banyak! (tergamam). Apa pekerjaan suami puan?

Puan Jamilah Mas’ud  : Dia CEO Syarikat Sokmo Smoke yang beribu pejabat di KL.

Dr. Hassan Hellman    : Oh, syarikat apatu puan?

Puan Jamilah Mas’ud  : Syarikat yang menyelia dan menyelenggara klinik berhenti merokok seluruh  Malaysia.

Dr. Hassan Hellman    : Hah?! (Pengsan)

Ironi 1 (3 dalam 1)

Selepas dunia menyaksikan kekejaman Israel yang menyerang Gaza secara bertubi-tubi tanpa henti selama empat hari pada Januari 2010, umat Islam seluruh dunia melakukan protes di mana-mana sahaja sebagai ekpresi bantahan mereka terhadap kekejaman itu.


Di Kuala Lumpur, Masjid Negara menjadi saksi ratusan orang yang berhimpun memegang sepanduk, mengibarkan bendera Palestin dan menjerit-jerit perkataan-perkataan anti-Yahudi dan anti-Israel. Mereka ke jalanan dan berdemonstrasi.


“Hidup-hidup, hidup-Palestin!”  “Hancur-hancur, hancur-Israel!” (Baca dengan nada Mat Sabu)

1.      Di jalan, kelihatan sekumpulan anak muda. Ramai yang membawa bersama bekalan air mineral sebagai persediaan menghilangkan dahaga. Seorang anak muda pula memegang sesuatu yang berbeza di tangannya. Sebotol Coca-Cola. Nah, Ironi 1!

2.      Ada yang datang agak lewat dan tidak sempat menunaikan Solat Zuhur berjemaah. Mereka terus turun ke jalan menyertai kumpulan yang berdemo. ‘Ini jihad, tak apa. Kejap lagi kita solat,” kata ketua mereka. Jam 5.30 petang, mereka masih di jalan. Huh, ironi 2!

3.      Salah seorang yang berdemo, Mat Yahoo (bukan nama sebenar) berbicara penuh emosi dengan rakan-rakannya selepas penat berdemonstrasi. Lokasinya di kedai mamak berhampiran. “Sudah sampai masanya kita boikot semua produk Yahudi, tanpa kompromi!” kata Mat Yahoo dengan penuh emosi, kemudian dia membuka kotak kedua rokok Dunhillnya untuk menghisap rokok ke 21 batang hari itu. Ironi 3!!!