Sunday 11 September 2011

Debat Bukan Soal Persepsi


Siapa kata? Entri ini sengaja dimulakan dengan persoalan yang menyanggah tajuk kerana penulis bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pernyataan itu. Jika kita menyangka debat bukan soal persepsi, kita silap. Sering kita dengar dalam debat samada sebagai penonton atau sebagai peserta, pihak lawan atau pasukan kita sendiri menimbulkan persoalan berkenaan hujah dan pembawaan pihak lawan, yang mereka sifatkan sebagai berdasarkan persepsi. Hebat! Kononnya ini akan memberi kelebihan kepada pasukan sendiri yang mendakwa diri mereka berdebat berdasarkan fakta, gambaran realiti dan bukan persepsi.


Sedarkah kita, seawal kita mendapat satu berita atau mendengar sebuah cerita, kita akan membina persepsi sendiri. Apabila mendengar berita tentang kaitan Dato' Seri Najib dan Altantuya, kita membina persepsi untuk percaya samada benar Perdana Menteri terlibat atau tidak dengan pembunuhan Model dari Mongolia itu. Apabila menonton video seks yang dikatakan aksinya dilakukan oleh Dato' Seri Anwar, kita juga membina persepsi sendiri tentang kesahihan berita itu samada kita ingin percaya atau tidak. Bahkan, persepsi ini berkembang selepas kita mengikuti perkembangan cerita dan berita yang disebarkan. Soal fitnah, konspirasi, atau apa saja yang timbul selepasnya, kita sambung dan cambahkan persepsi yang sedia ada. Persepsi itu boleh jadi kekal atau berubah, statik atau bercambah.

Kita terpaksa mengubah persepsi sendiri apabila diundi untuk bercakap sesuatu yang pada asalnya tidak kita setuju. Andai anda percaya tindakan Amerika adalah punca kemusnahan Iraq dalam serangan 2003, anda perlu mengubah persepsi itu andai bergelar kerajaan dengan usul, "Kemusnahan Iraq: Salah Sendiri". Kita wajib mengubah persepsi sendiri untuk meyakinkan orang yang mendengar kerana keyakinan adalah gelombang  yang anda salurkan tanpa sedar. Sebab itulah, andai anda sendiri tidak yakin dan percaya dengan apa yang dikata, anda tanpa sengaja mengajak orang yang mendengar untuk turut sama tidak percaya. Dalam soal ini, para penonton dan hakim yang pastinya akan terkesan. Ingat, kadang-kadang kekuatan bahasa badan mengatasi kekuatan bahasa lisan.

Persepsi, seperti yang ditakrifkan Kamus Oxford bermaksud cara sesuatu dianggap, difahami, ditafsir dan diinterpretasi. Apa yang ditulis ini juga boleh jadi berdasarkan persepsi, anda boleh percaya atau tinggalkan sahaja sebagai bacaan suka-suka. Semua juga terserah pada bagaimana kita menginterpretasinya.

Seeloknya, tidak ada lagi pendebat yang akan mendakwa pihak lawan berdebat berdasarkan persepsi kerana kita semua melakukan perkara yang sama. Bezanya, ada yang berdebat dengan menampilkan persepsi dengan fakta yang bersalut figura, struktur dan sumber kajian yang cukup meyakinkan. Kita susun kemas dan ikat hingga nampak cantik dan padat. Tetapi perlu diingat, ada juga yang berdebat dengan menampilkan persepsi bersadur pemikiran logik, semantik atau idea sendiri dan tindakan ini sebenarnya jauh lebih berani.

4 comments:

  1. setuju2.selalu terpk mcm mana nak jd pendebat yg kreatif..huhu n mcm mana nak berdebat dengan menampilkan persepsi dengan fakta yang bersalut figura, struktur dan sumber kajian yang cukup meyakinkan kalau b'ckp biasa2 pun org lain tk phm..huhuhu sedih sungguh jd cekyah...n mcm mana nak berdebat dengan menampilkan persepsi bersadur pemikiran logik, semantik atau idea sendiri kalau asas2 debat pun belum hadam,baca pun mls!..huhu

    ReplyDelete
  2. baca pun malas! ini paling epik.u definitely know wut r u supposed to do.TQ :)

    ReplyDelete
  3. epik?apa tuh?hahah..okys..membaca,membaca dan membaca lah kaedahnya..

    ReplyDelete
  4. abg asril pernah ajar mcm mana debat ni sebenarnya soal persepsi...kalau bukan persepsi,takkan lah tentang fakta semata2.siapa punya fakta lebih tepat dia menang.jadi siapa paling banyak membaca dan paling banyak membetulkan fakta orang lain akan menang.tapi kalau fakta tu akan menyebelahi satu pihak,sah2 pihak satu lagi akan kalah sebelum bertanding.

    ReplyDelete