Saturday, 31 December 2011

Membelek helai-helai 2011

Hari ini sudah 1 Januari 2012.

Campur baur perasaan menghias kanvas 2011 yang aku, engkau dan kita semua tinggalkan. Hidup aku, sorotannya dalam pelbagai warna. Klise hidup yang tiada siapapun bisa halang sebab ini sebuah ketetapan. Kalau nak semua gembira dalam hidup, pergi cari Tuhan, jadi pemuja setia yang tak pernah melupakan Dia. Kau dapat syurga, kau akan dapat semua, kau akan selamanya gembira.

Tapi ini dunia, kita takkan dapat terjun dalam nikmat hidup sempurna ikut apa yang kita mahu. Ini hidup yang kadangkala kau jumpa apa yang kau suka, tapi nikmatnya tak selamanya. Ada yang kau rasa kau mahu, tapi itu salah di sisi Tuhanmu, salah dalam tulis ukir kitab agamamu. Hidup adalah soal mencari dan soal mematuhi Rabbi.

Tahun 2011 aku dinobat sebagai Johan Pidato BM Antarabangsa kategori Nusantara. Gembira tak terkira. Paling aku gembira bukan sebab dapat titlenya. Tapi kerana aku bisa titiskan air mata bangga ibu. Pertandingan itu disiarkan live seluruh negara. Aku dapat dedikasikan buat ibu yang menonton langsung di kampung.

Tahun ini juga aku praktikal mengajar di SMK Tun Perak. Denda pelajar berdiri di luar kelas. Diperli dalam blog dan digosip sesetengah mereka. Hahaha. Pengalaman lucu. Tak apa, aku juga jumpa blog pelajar yang memuja. Mungkin kerana akuni 'cikgu selebriti' atau hanay perasan sendiri. Aku melatih pelajar yang terlibat dengan pidato, nasyid, forum dan tinggal di asrama sebagai pembantu warden. Aku benar-benar rindu semua entiti yang wujud di sini, yang ajar aku betapa ilmu terlalu mahal dan biar apa orang kata, profesion sebagai guru tak glamour di mata manusia, tapi mulia di mata Yang Esa. 

Tahun ini aku konvo. Seronok diraikan. Seronok mengisi beberapa ruangan akhbar. Seronok lagi bila wajah ibu dan aku turut wujud jadi tatapan. Aku geram campur marah, peluang untuk mewakili rakan-rakan bagi menyampaikan ucapan telah dinafikan. Tapi aku sudah memaafkan mereka yang lalai dan agak lembab melakukan tugasan. Aku mangsa keadaan. Tapi tak apa, pada setiap sidang, video yang turut sama memuatkan wajah dan cerita kejayaan aku disiarkan. Bagi setiap orang paling penting yang berucap setiap sidang, nama dan pencapaian aku meniti di bibir mereka. Aku tetap ceria. Senyum sampai telinga.

Aku mencari-cari kerja yang sesuai dengan jiwa dan menunggu panggilan orang berkepentingan dalam politik negara. Pertama kalinya menapakkan kaki di pejabat PM. Ya, PM maksudnya Perdana Menteri. Berdiskusi dengan pegawai khas beliau. Aku digambarkan akan memenuhi ruang dan peluang untuk berada bersama pasukan ini yang akan memberi kesan signifikan political mileage orang no.1 negara. Sampai sekarang belum ada berita. Aku tak kisah, rezeki di mana-mana.

Aku dapat anak buah baru. Gembira untuk kakak yang sudah hampir dua tahun menunggu. Nang Zara Qasriena nama puteri comel kuat menangis. Aku sayang sama sahaja semua anak-anak buah. Semuanya memang buah hati aku. Kesayangan yang takkan terlawan.

Ini paling mengesankan hidup. Aku bagai menongkat langit runtuh apabila ibu disahkan menghidap kanser rahim peringkat 4. Tangis dan sendu jadi melodi dan hela nafas saban waktu. Seluruh keluarga berusaha dapatkan rawatan terbaik untuk manusia paling kami sayang. Hampir sebulan lebih ibu bertarung dengan sakitnya. Susut berat badan, kadangkala wajah lesu tanpa senyuman. Aku berikan yang terbaik pada ibu saat genting ini. Tapi dialah superwoman paling tabah dan kuat. Aku dan adik-beradikpun tak sekuat ibu. Lihat dia tanggung seksa dan sakit sepanjang kimoterapi, aku rasa aku yang patut ganti, tapi aku pasti bahwa aku tak sekuat individu ini, Nafisah binti A. Rahman. Terima kasih Tuhan kerana akhirnya menyembuhkan. Sujud dan syukur kami, moga kekal berpanjangan.

Aku hampir silap jalan, hidup kadang-kadang boleh mendorong kita tersilap memilih jalan bila sesat dan bersendirian di antara simpang. Lucu dan kelakar bila ingat semula. Hahaha. Terima kasih Tuhan yang masih sayang, kerana itu Dia mengingatkan. Terima kasih manusia jujur dan ikhlas, kerana sudi menyedarkan. Dan terima kasih buat akal serta iman yang masih tersimpul dalam  satu ikatan, kerana rela mengetuk lena,  mengajar bahwa kebahagiaan sementara bisa membawa derita selama masa. Cuma, betulkan saja yang salah, bukan bermakna semua mesti musnah dan punah. Teruskan yang betul. Betulkan yang tidak lurus..

Namun, 2012 tidak menjanjikan apa-apa kalau aku tidak pantas berusaha dan merancang dengan jiwa yang enggan mencari makna sempurna...

1 comment: