Friday 25 November 2011

Pernah?

Pernahkah kau dalam usia suku abad terbeban dengan rasa rindu orang yang pernah kau banggakan dulu? Rasa rindu pada lelaki yang kau kagumi? Lelaki yang kau sayangi sepenuh hati? Lelaki yang pernah kau puja macam dewa? Waktu itu kau kecil dan tak faham apa-apa. Yang kau tahu, lelaki ini hebat dan tiada yang setanding dengan dia. Ah, senang cerita, dalam banyak-banyak Superhero yang kau tonton di kaca TV atau mana-mana komik yang pernah kau tatap daripada kulit ke isi, semuanya biasa-biasa saja bagi kau. Tetapi lelaki inilah satu-satunya adiwira sebenar. Terbaik dan sukar dicabar.

Walau kau pernah disebat dengan penyangkut baju atau apa saja yang sempat dicapai lelaki itu, kau tetap agungkan dia. Lagipun dia pukul bersandar asbab. Sebuah cinta yang takkan terungkai maksud dan dalamnya.Walau kau dipukul, tetapi lelaki yang sama akan memujuk. Bawa kau keluar bonceng motorsikal bersama dia keliling desa. Jumpa kawan-kawan dia di seputar kampung dan jika beruntung, adalah dalam kalangan rakan-rakannya yang menghulur syiling warna emas atau lebih elok, not-not kertas. Kau puas!

Untuk keseronokan seperti itu, budak hingusan manapun akan lupakan saja lebam kecil dan tengking amarah yang singgah ke cuping telinga. Itulah syurga! Saat kau membonceng motorsikal ke mana sahaja, hingga pernah lelaki itu singgah di kedai kopi atau restoran. Layan kehendak kau mahu makan apa saja sampai kau rasa dilayan macam anak raja, yang tersesat masuk kampung, dijumpa dan dibela orang biasa. Dalam semua perkara, kaulah yang diutama! Dirinya sendiri hanya menjadi yang kedua atau ketiga.

Waktu dia membanting padi, kau seorang diri temankan lelaki ini. Main guling-guling dan lompat tinggi-tinggi atas jerami. Pulang ke rumah, kau diserang gatal satu badan tapi kau puas dapat simpan kenangan. Jadi pemerhati setia seorang lelaki cari rezeki dunia. Mengerah kudrat yang tidaklah sekuat mana, tapi dia rela. Kau ikut dia ke majlis mana saja. Kau lihat dia penuh karisma waktu berbicara. Rakan-rakannya selalu saja mengiya apa yang dia kata. Dia orang kuat parti yang dia yakin dan percaya. Kau masih ingat rutinnya setia tercegat dan berlegar ligat di pondok panas waktu pilihanraya. 

Itu semua cerita lama. Lelaki itu sudah tertanam jasadnya dalam bumi Tuhan yang esa. Tak bernyawa. Kaku menunggu masa untuk dibangkitkan semula, dan kau tiba-tiba hiba tak terkata. Kenalah pula saat kau diserang emosi sendiri kerana masalah yang sengaja kau cari. Kau lupa umur kau sudah suku abad. Ya, 25 tahun. Kau menangis tak henti teresak-esak macam apa yang kau pernah buat 20 tahun sebelumnya. Kau menangis macam waktu kau tak dapat apa yang kau hendak daripada lelaki yang sama 20 tahun sudah. Kau tak peduli, biarlah deraian air mata kau memecah sunyi mengganggu mana-mana penghuni. Sebab kau rindu sangat lelaki itu. Sebab rindu kau yang tidak tertahan. Hilang rasa malu, yang ada cuma azab menanggung rindu. Kau menangis sebab tiada lagi orang yang akan tengking marah silap kau. Kau menangis sebab tak ada lagi orang yang akan dengar cerita-cerita menarik kau. Kau menangis sebab kau tak sempat dan tak boleh lagi ucap, "saya sayang ayah!". kau menangis sebab kau tak boleh ucap terima kasih, untuk sayang dan cinta, untuk segala jasa, untuk bakat yang turun daripadanya, dan kau menangis kerana kau tak dapat ucap terima kasih sebab sekurang-kurangnya dia telah jadikan kau manusia. Waktu itu kau menangis sepuas-puasnya dan tak hiraukan apa-apa. Kalau Tuhan sudi, kau bermohon Tuhan hantar pesanan ini:

"Terima kasih ayah, aku rindu!. Maaflah lama tak mengirim doa dan bacaan suci kalam Yang Esa. Aku terlalu sibuk dengan urusan dunia. Aku lalai dan alpa. Aku mungkir janji untuk jadi anak yang soleh dan setia. Dah berbulan tak kirim bacaan Yaa Siin, hari ini aku kirim. Aku tak mahu jadi yang dulu, aku mahu jadi yang baru dan aku mahu terus merindu. Supaya aku tak lupa kirim doa dan kalam mulia, jaga kau di barzakh sana!!!"

Al-Fatihah buat ayahanda Abd Rahman Bin Endut
25 November 2004 meninggalkan kami sekeluarga untuk berjumpa pencipta.
Aku rindu kamu, setiap masa.



1 comment: